"KASIHAN mayat di dalamnya... tak boleh berehat dengan tenang!"

Demikian antara komen yang dilontarkan netizen susulan tularnya video di laman sosial memaparkan persiapan sebuah majlis perkahwinan yang diadakan di atas tanah perkuburan Islam!

"Entah siapa yang salah? Di atas kuburan pun jadi," demikian kapsyen yang mengiringi video berkenaan.


Menerusi klip video yang dimuat naik di laman Instagram @terangmedia, kelihatan kawasan tanah perkuburan tersebut mewah dengan pentas pelamin yang dihias untuk acara persandingan raja sehari.

Bukan itu sahaja, sebuah pentas yang dilengkapi dengan sistem audio turut didirikan bersebelahan dengan pelamin, bagi menghiburkan tetamu yang hadir.


Turut kelihatan beberapa individu berjalan ke hulu hilir melakukan persiapan di lokasi berkenaan.

Malah anak-anak kecil juga selamba berjalan memijak kubur malah siap bersantai di atas pelamin yang dipasang di atas kuburan.

Apa yang lebih menimbulkan kekesalan ramai, ada di antara individu di dalam video tersebut siap mengenakan songkok dan hijab, seolah-olah mereka mencemarkan imej agama Islam dengan perlakuan yang jauh menyimpang daripada adab tatatertib.