Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Suri rumah curi Milo dipenjara 14 bulan

Suri rumah curi Milo dipenjara 14 bulan 


SUHAINI Mohd. diiringi keluar dari Mahkamah Majistret Marang selepas dijatuhi hukuman penjara 14 bulan atas kesalahan mencuri dua peket Milo, hari ini.


MARANG:  Seorang suri rumah dijatuhkan hukuman penjara 14 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas kesalahan mencuri dua peket Milo bernilai RM73 di sebuah pasar raya di sini pada 25 Mei lalu.


Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda menjatuhkan hukuman tersebut selepas tertuduh, Suhaini Mohd., 43, yang juga penagih dadah membuat pengakuan bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan.


Berdasarkan fakta kes, pemilik pasar raya mengesan aksi mencurigakan Suhaini disyaki mencuri menerusi rakaman televisyen litar tertutup (CCTV).


Beliau kemudiannya mengekori tertuduh sebelum wanita itu nekad melarikan diri dengan meninggalkan motosikal dinaikinya di Hentian Bas Marang di sini.


Tertuduh berjaya ditahan polis di rumahnya di Kampung Baru Kuala Abang, Dungun berpandukan nombor pendaftaran motosikal terbabit pada 6 Jun lalu.


Suhaini yang mempunyai empat orang anak sebelum ini mempunyai tiga rekod jenayah mencuri barangan pasar raya pada tahun 2019 dan 2021.


Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.


Pendakwaan dikendalikan Pengawai Pendakwaan, Asisten Superintenden Othman  Ibrahim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Post a Comment for "Suri rumah curi Milo dipenjara 14 bulan"