Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Ibu maut kemalangan, sekelip mata tinggalkan 3 cahaya mata yang masih kecil

Ibu maut kemalangan, sekelip mata tinggalkan 3 cahaya mata yang masih kecil

Terkesan apabila melihat anak anak arwah yang masih kecil menangis dan meratapi pemergian ibu kesayangan mereka. Tangisan anak-anak arwah kedengaran sangat kuat saat diberi lihat wajah ibu mereka dengan jasad yang sudah tidak bergerak lagi.

Rakan rakan dari unit bilal jenazah muslimah juga mengalirkan air mata.

Saya dan beberapa orang lagi rakan awal awal sudah berganjak ke tempat lain.

Tidak terdaya untuk kami melihat situasi sedih yang sedang berlaku dibilik wakaf petang tadi.

Tangisan anak anak buat ibunya yang sudah tidak lagi bernyawa. Tangisan kesedihan yang tidak mampu kami ceritakan dengan kata-kata.

Terlintas difikiran kami bagaimana nasib anak anak sekecil itu meneruskan kehidupan tanpa kasih seorang ibu?

Ketiga tiga anak arwah masih kecil. Anak pertama arwah lelaki berumur 4 tahun. Yang kedua juga lelaki berumur 3 tahun. Anak yang ketiga pula perempuan dan umurnya baru 1 tahun.

Dari siasatan awal pihak polis dikatakan motosikal yang dinaiki oleh arwah terbabas ketika sedang melalui bulatan Simpang Lima Klang.

Ketika itu arwah dalam perjalanan untuk pergi ke tempat kerjanya dikilang Top Glove yang beralamat di Kapar. Dikatakan arwah berkerja sebagai pembantu dikantin kilang tersebut.

Kejadian kemalangan yang meragut nyawa arwah itu berlaku sekitar pukul 6.00 pagi.

Dua buah kenderaan turut terlibat dalam nahas kemalangan yang berlaku. Selepas terbabas dan terjatuh sebuah motosikal yang berada di belakang telah melanggar arwah.

Ketika sedang terbaring kesakitan datang pula sebuah kereta yang tidak sempat menggelak dan melanggar arwah sekali lagi. Arwah disahkan meninggal dunia ditempat kejadian selepas mengalami kecederaan teruk akibat impak yang kuat ketika dilanggar.

Jenazah telah dibawa ke bilik forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang untuk dibedah siasat bagi mencari punca sebenar kematiannya.

Apa yang saya perasan sewaktu jenazah dalam perjalanan hendak dibawa ke tanah perkuburan, hujan tiba tiba turun agak lebat.

Tetapi sewaktu jenazah diangkat untuk dimasukkan ke liang lahad hujan lebat yang turun itu tiba tiba berhenti.

Entah apa amalan yang dilakukan oleh arwah ketika hidupnya. Kami lihat dengan mata yang ada urusan terakhir arwah untuk disemadikan dirumah barunya telah Allah permudahkan.

Hujan rahmat yang turun seperti turut sama menangisi pemergian ibu muda ini. Salam takziah buat anak anak dan suami arwah..

Post a Comment for "Ibu maut kemalangan, sekelip mata tinggalkan 3 cahaya mata yang masih kecil"